SKOP Productions menempa sejarah baru industri perfileman tempatan apabila menghasilkan filem genre romantik thriller, S.A.M (Saya Amat Mencintaimu) yang pertama seumpamanya, sekali gus penerbitnya, Datuk Yusof Haslam mempertaruhkan anaknya sendiri, Syafiq Yusof, 18, sebagai pengarah.
Sejarah tercipta sekali lagi apabila Syafiq muncul sebagai sutradara filem cereka termuda di negara ini, malah di Asia Tenggara untuk duduk di kerusi pengarah bagi mengemudi projek pembikinan filem yang membabitkan kos RM1.7 juta.
Lisa Surihani pula pernah menang gelaran Aktres Terbaik FFM23 dan Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH2010. Tidak ketinggalan Syamsul sendiri pernah dinobatkan gelaran Pengarah Terbaik di FFM23 menerusi filem arahannya, Evolusi KL Drift 2. pada masa sama, Syamsul juga baru menghasilkan kutipan box-office apabila Khurafat: Perjanjian Syaitan meraih kutipan lebih RM8 juta manakala KL Gangster mencatat kutipan yang menggemparkan sejarah perfileman negara - RM12juta.
Justeru, Yusof pastinya amat mengharapkan hasil yang terbaik daripada buah tangan Syafiq supaya legasi perfilemannya berterusan daripada dirinya sendiri yang pernah bergelar Pengarah Six Million Dollar Man menerusi Sembilu 2, kini beralih tangan kepada Syamsul yang juga mula digelar Pengarah Twelve Million Dollar Man. Mungkin, tidak lama lagi Syafiq akan menjejaki kejayaan berganda itu dan siapa tahu dia juga akan mencipta sejarahnya tersendiri kelak.
Sebelum bergelar pengarah filem, Shafiq terlebih dulu menimba pengalaman sebagai pengarah drama bersiri popular, Gerak Khas sebanyak tiga episod iaitu Oops Serbu, Oops Serbu 2 dan Oops Serbu 3. Kini, Syafiq diberi peluang bapanya mengarahkan S.A.M dan dia mengakui kesempatan itu hanya hadir sekali dalam hidup, justeru beliau perlu menyahut cabaran itu sekalipun menyedari usianya baru setahun jagung.
Selain diberi pendedahan mengenai kerja di sebalik tabir apabila sering mengikut bapa dan abangnya ke lokasi penggambaran, Syafiq mengakui darah seni sudah mengalir di tubuhnya sejak hari pertama dia dilahirkan ke dunia.
Mengimbas cerita silam, Syafiq memberitahu, ketika ibunya (Datin Patimah Ismail) hendak melahirkannya di sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, Yusof sedang menyiapkan drama polis trafik, Roda-Roda Kota Raya, sekali gus namanya ada perkataan ‘fiq’ sempena nama trafik.
“Sejak kecil, saya selalu ikut papa (Yusof) dan abang ke lokasi penggambaran, kalau bercakap pun pasal filem dan drama. Justeru, saya sudah disuntik dengan input kerja-kerja di sebalik tabir. Apabila papa membuat tawaran mengarahkan filem sulung S.A.M, peluang keemasan ini tidak harus dilepaskan.
“Awalnya papa minta saya mengarahkan filem cinta yang tidak membabitkan kos terlalu tinggi, tapi saya tambah dengan eleman thriller. Saya bersama sepupu, Salleh Mokti mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menyiapkan skrip. Alhamdulillah, hasrat saya untuk bekerja dengan mereka yang berpengalaman luas dalam bidang perfileman seperti Sam, Lisa dan abang saya sendiri, mendapat lampu hijau daripada papa,” kata Syafiq.
Antara lokasi utama S.A.M ialah di ibu pejabat The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur. Mereka berkampung hampir sebulan di kawasan bekas mesin percetakan akhbar yang kini menjadi stor akhbar lama untuk menjayakan beberapa babak aksi pergaduhan dan cemas, selain membabitkan beberapa anggota polis.
Antara cabaran dihadapinya ialah berdepan kesukaran merealisasikan apa yang divisual menerusi fikiran, selain faktor cuaca. Baginya, untuk menjayakan babak pergaduhan dan mewujudkan watak psikologi, bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, dia bersyukur setakat ini hampir 80 peratus apa yang ada di dalam fikirannya, berjaya dipersembahkan ke layar perak.
Selain itu, mulai 11 Ogos ini, Syafiq akan turut mengikut keluarganya mengerjakan umrah apabila semua kerja penggambaran S.A.M siap sepenuhnya.
Sementara itu, Yusof ketika ditemui di lokasi penggambaran filem itu, mengakui apabila beliau melihat rushes filem yang sudah dilakukan Shafiq, beliau mendapati ada kelainan yang ditampilkan anaknya itu dari segi sinematogragi dan shot angle, selain garapannya tidak meniru hasil kerja beliau mahupun Syamsul.
No comments:
Post a Comment